Asal usul Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh

Dato Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Kota Raja, Acheh, dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.

Terdapat beberapa versi tentang tempat kelahiran Dato' Bahaman, antaranya beliau berasal dari Acheh. Terdapat juga versi mengatakan beliau berasal dari Kampung Rantau Panjang di Lanchang. Pada hari ini, terdapat sebuah sekolah yang dinamakan SMK Datuk Bahaman di Lanchang. Lanchang suatu ketika dahulu digelar sebagai Semantan, kerana itu Dato' Bahaman mendapat jolokan Pahlawan Semantan.

Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.